Thursday 16 June 2016

Pemergian Syed Syeikh Al Hadi

[Ucapan Dari Sahabat Seperjuangan]

"The demise of Syed Shaykh is indeed a great loss to all the Malay States and their people, in fact we can say a loss to the Malay World. If all of us were today to unite and search day and night to find someone who is sincere and willing to sacrifice himself, his wealth and time, to fulfill his humanitarian duty towards his people and his country -- a nation that is in critical need of such a Muslim figure as he -- we would never find one who could fill the void he left . "

Sheikh Abdullah Maghribi , 
At the grave of Syed Sheikh Al- Hadi,
Jelutong, Penang, 20 February 1934.

p/s : Sheikh Abdullah Maghribi merupakan pengetua kedua Madrasah Al-Mashoor

Ciri Pejuang

Di antara sebab Syed Mohammad Alwi Hadi tidak mengikuti jejak langkah datuk beliau adalah kerana sering menyaksikan bagaimana Syed Sheikh Al- Hadi menerima makian dan cercaan dari orang ramai, di pasar Chowrasta, di jalanraya dan sebagainya disebabkan pendirian dan kelantangan beliau dalam perkara yang melanggar status quo masyarakat setempat.
Saya jadi teringat juga kepada Al Imam Al Bukhari, tokoh hadis besar dunia turut menerima nasib serupa bilamana dihalau dari kampungnya sendiri.
Tegas dan berprinsip, itulah ciri pejuang.

NAIM ALMASHOORI.

Sumbangan Trio Guru Al-Mashoor Dalam Kes Pengharaman Ajaran Sesat Matahari .

[Pengharaman Mazhab Matahari/Ajaran Taslim Kampung Seronok,Pulau Pinang]
Syed Alwi dalam catatan berkenaan bapanya mencatatkan satu sumbangan penting untuk umat Islam Pulau Pinang, iaitu peristiwa pengharaman Ajaran Matahari yang terkenal di Kampung Seronok,Bayan Lepas. Tanya saja orang-orang tua, pasti mereka ada cerita mengenai tariqat ini.
Beberapa pemimpin mazhab ini, setelah dikritik dan didesak oleh orang muda di kawasan mereka untuk mengesahkan ajaran dan kepercayaan ini kepada Syed Sheikh Al-Hadi, datang ke rumah beliau di 410 Jalan Jelutong . Kebetulan Syed Alwi berada di rumah ayahnya ketika waktu mereka datang. Syed Sheikh bersetuju untuk menyiasat akan hal ini, dengan syarat mereka haruslah bersetuju dengan dapatan kajian beliau, yang didasari dari kajian berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah . Semua ke-enam orang pemimpin (menurut Syed Alwi) gerakan ini bersetuju dengan pra-syarat yang telah diberikan.
Trio awal penggerak Madrasah Al-Mashoor, Syeikh Abdullah Al-Maghribi , Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari dengan Syed Syeikh Al-Hadi sendiri menjalankan kajian selama 3 bulan sebelum keputusannya dipaparkan kepada umum. Setelah selesai, satu perhimpunan telah diadakan di Masjid Jami' Jelutong.Lebih kurang 10,000 orang Islam, Melayu dan bangsa lain, lelaki dan perempuan telah berkumpul di masjid tersebut.Mereka bukan sahaja datang dari Pulau Pinang dan Seberang Perai, tetapi dari Utara Semenanjung Tanah Melayu.
Selama tiga jam, Syed Sheikh Al-Hadi bercakap tanpa henti di depan audien, merujuk satu per satu kitab, dan semua kitab tersebut telah ditanda dan disusun di satu meja besar untuk memudahkan orang ramai melihat sendiri bukti-bukti yang keluar dari mulutnya.
Secara ringkasnya, tiga keputusan telah diambil dan diummkan Syed Syeikh , iaitu ;
1) Semua ajaran Taslim ternyata menyimpang dan menyelisihi Islam.
2)Buku-buku ajaran Taslim dibakar di hadapan orang ramai pada hari tersebut juga.
3)Untuk mengelakkkan pengikut Taslim dalam kalangan audien berasa malu , semua hadirin diminta bertaubat dan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sekarang, saya cuma terdengar khabar angin saja tentang saki baki penganut mazhab ini di Pulau Pinang.Sementara itu, Kampung Seronok Bayan Lepas sudah beberapa kali menjadi Kampung Terbaik di Pulau Pinang dan menjadi wakil negeri di peringkat Kebangsaan. Peristiwa di Masjid Jami' Jelutong ini dilaporkan secara lengkap oleh akhbar Saudara pada tahun 1933.

Beragama dengan akal

Beragama dengan akal.


" Telah lama_lah chita2 kita hendak mengeluarkan satu kitab yang kechil bagi pergunaan anak2 dan 'awam Muslimin yang menuntut 'Ilmu ugama mereka bagi memasokkan ka_dalam pengetahuan dan perasaan akal mereka itu sa_tengah daripada rahsia2 kegunaan dan hikmat2 yang terkandong di dalam ugama Islam dan di_dalam segala 'amal ibadat yang di_suroh supaya orang2 yang berpegang dengan_nya mengerjakannya...... "

Sebahagian dari Pendahuluan Pengarang ( Syed Sheikh Al- Hadi) dalam bukunya, Ugama Islam Dan Akal .

                                                Kulit muka depan yang dimiliki penulis 

Kitab kecil ini menekankan peri pentingnya beragama engan menggunakan akal, bukanlah setakat taqlid an taksub buta semata-mata. Saya akan perincikan kandungan kitab kecil ini di post lain yang lebih sesuai .

Seruan Ke Atas Bangsa Melayu Dari Pulau Kecil Ke Sekalian Saudaranya Di Tanah Besar !

[ Seruan Ke Atas Bangsa Melayu Dari Pulau Kecil Ke Sekalian Saudaranya Di Tanah Besar ]

"Memada-madalah. Bangunlah segera dari tidur kamu wahai sekalian Ikhwan . Bahawasanya telah kelamlah tipu daya kebodohan dan terbit cahaya pengetahuan. Tengok, lihat dan perhatikanlah apakah yang telah diperbuat oleh kamu bangsa yang jaga itu . Meruntuhkan bukit yang besar-besar, membangunkan bangunan di padang yang rata, menjadikan lautan itu daratan dan daratan itu lautan. Padahal tidak bergerak ianya dari atas kerusinya dengan menggoyangkan kaki. Hanyalah digunakannya jari hujung telunjuk jarinya pada menyempurnakan segala kehendak kemudian daripada telah berpengetahuan ianya pada menggunakan tabiat barang-barang yang dijadikan oleh Tuhannya bagi faedah-faedah manusia di dalam alam ini " .

Dipetik dari Majalah Al-Ikhwan keluaran pertama 16 September 1926, yang ditulis oleh Syed Sheikh Al- Hadi ( Pengetua pertama Madrasah Al-Mashoor)

Friday 13 May 2016

Bekas Pelajar : Mufti Negeri Sembilan , Dato' Haji Murtadza





DATO' HAJI MURTADZA BIN HAJI AHMAD - MUFTI KETIGA NEGERI SEMBILAN

(Al-Mashoor 1957-1960)


Dato' Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad – Beliau dilahirkan pada 23 Safar 1356H bersamaan 5 Mei 1937. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Dato' Shahbandar, Rasah. Kemudian meneruskan pengajiannya di Singapura bersama bapa saudaranya Tuan Haji Abdul Rasyid, dan kemudian di Sekolah Agama al-Atas, Johor Bahru hingga tahun 1956. Pada tahun 1957, beliau melanjutkan pelajaran di al-Mashoor, Pulau Pinang. Kemudian tahun 1961 beliau menyambung pengajiannya ke luar negara iaitu di Maahad al-Kaherah dan seterusnya menuntut di Universiti al-Azhar, Cairo pada tahun 1967 hingga 1974.

Pengalaman dalam perkhidmatan : 

• Bertugas sebagai guru Agama di Sekolah Agama Menengah Tinggi Bukit Merbah pada tahun 1974
• Menjadi Qadhi di Daerah Kuala Pilah dan Jempol sehingga tahun 1981.

• Menjawat jawatan Ketua Penerangan Agama dan merangkap Imam Besar Negeri Sembilan dari tahun 1981- 1984.

• Menjawat Ketua Penerangan Agama dan memangku Qadhi Besar bermula pada 31 Oktober, 1984 hingga bulan Ogos 1987.

• Bermula 10 Ogos, 1987 bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus hingga 2008. 


BIODATA MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Pada tahun 1943 Y.B Dato' Mufti memulakan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau. Selepas itu bapa Y.B Dato' berpindah ke Mukim Nyatoh dan Y.B Dato' bersekolah di Sekolah Kebangsaan Nyatoh. Selepas British kembali memerintah Malaysia Y.B Dato' mula belajar di Sekolah Kebangsaan Dato' Shahbandar Haji Ahmad, Rasah hingga tamat pada kelas 6.

1950 - Belajar di Madrasah Khairiah Singapura disamping belajar dengan bapa saudara Tuan Haji Abd. Rashid.

1951 - Berpindah ke Madrasah Al-Atas Johor Bahru – belajar agama di sebelah pagi di Madrasah Al-Atas dan di sebelah petang belajar di Sekolah Agama Air Molek.

1956 - Lulus Kelas Khas dan mendapat No. 3 daripada 1000 orang penuntut. Dan pada tahun yang sama lulus syahadah al-Iftida‘iyah di Madrasah tersebut.

Pada awal 1957 berpindah ke Madrasah Al-Mashoor, Pulau Pinang hingga 1960. Kemudian lulus ujian dan dilantik menjadi guru sementara di Madrasah Al-Mashoor, Pulau Pinang.

Bulan Ogos 1960 bertolak ke Al-Azhar. Mula-mula belajar di Maahad Al-Bu‘us. Oleh kerana al-Azhar menerima perubahan baru zaman Sheikh Mahmud Shaltud dan Dr. Mohd Bahai, Menteri al-‘Aukuf. Semua pelajar-pelajar diarah menerima sistem baru palajaran sains dan agama di al-Azhar dan saya diantara yang kekal sehingga mendapat shahadah Senawi di Maahad al-Kaherah.

1965 - Mendapat sijil menengah al-Azhar.

1966 hingga 1973 - Mengaji di Universiti al-Azhar dalam kuliah al-Syariah al-Qanun.

1973 - Lulus Sarjana al-Azhar.





Sepanjang di Mesir beliau terlibat dengan Persatuan Melayu Mesir (PMRAB). Menjawat beberapa jawatan terpenting Persatuan tersebut dan berkawan rapat dengan ramai sahabat di Malaysia sekarang diantaranya Dr. Yusof Nor, Dr. Abdul Hamid Othman, Dato' Hashim Yahya, Ust. Azizan Abdul Razak, Sheikh Mohsin, Dr. Ismail Ibrahim, almarhum Tan Sri Sheikh Mohsin, Ust. Fadhil Nor, Dr. Daing Sanusi, Ust. Sulaiman Yasin, Dato' Nik Aziz dan pelajar-pelajar Brunei , Singapura , Indonesia , Filipina dan Muldip dan terlibat bersama-sama rakan Malaysia membentuk Pakatan Mahasiswa Asia Tenggara. Tamat pengajian pada tahun 1973 dan berada di Malaysia pada tahun 1974.

1974 - Bertugas sebagai Guru Sementara di SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban

1976 - Menjadi Qadhi Daerah Kuala Pilah / Jempol dan Hakim Mahkamah Syariah Daerah Kuala Pilah dan Jempol.

10.9.81 - Dilantik menjadi Ketua Pegawai Penerangan merangkap Imam Besar Masjid Negeri.

10.7.84 - Ketua Pegawai Penerangan memangku Qadhi Besar Negeri Sembilan dan Hakim Mahkamah Qadhi Besar seluruh Negeri Sembilan. Dalam tempoh ini beliau telah dihantar menghadiri beberapa kursus yang diadakan samada di Kuala Kubu, JAKIM, 2 minggu menghadiri kursus Imam-Imam di Sabah atas kerjasama Kerajaan Malaysia dan Libya . Kemudian kursus Imam-Imam seluruh dunia di Mesir selama 3 bulan (Mac – Jun 1986) bersama-sama 11 orang Pegawai Agama seluruh Malaysia atas pilihan JAKIM.

Sepanjang menjadi Qadhi telah dihantar menghadiri beberapa kursus Qadhi-Qadhi seluruh Malaysia .

1987 - 2008 - Dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Sepanjang berkhidmat beliau dikurniakan 3 pingat :

1983 - PJK 
1986 - PMC 
1988 - DSNS


Pada 5 Januari tahun 1997, dilantik sebagai Sheikh Tarekat Al-Ahmadiyyah Al-Idrisiyyah Ar-Rasyidiyyah Ad-Dandrawiyyah bagi kawasan Asia Tenggara oleh Almarhum Sayyidi Ahmad bin Idris bin Sayyidi Muhammad Hassan bin Sayyidi Muhammad Sharif bin Sayyidi al-‘Ali bin Sayyidi Ahmad bin Idris al-Idrisi atau lebih dikenali Sayyidi Ibn Idris iaitu merupakan waris kepada pengasas utama Tarekat Ahmadiah. Peristiwa bersejarah ini berlaku bersempena majlis Haul Syeikh Hj Ahmad .

Sumber : http://pondoktauhid.blogspot.my/2013/08/ziarah-sohibus-samaha-dato-shaykh.html



Tiger of Malaya : Sheikh Mohd Hussein Bakar Rafiee


Shekh Mohd Hussen Bakar Rafie, born in the holy city of Makkah passed away shortly after 6pm on the 2nd of July, 2007 AD@ 16 Jumaada al-Thaany 1428 AH at the grand old age of 107.

He was the major strength behind Al Mashoor Islamic School, counting many political & religous leaders as his students. Among them were Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Datuk Dr. Hassan Din, Shamsiah Fakeh, a number of Muftis of many states plus numerous other well-known figures whose name just slipped my mind at the moment.

Tunku Abdul Rahman used to call him 'The Tiger of Malaya' for his fiery preaching during the fight for independence more than 50 years ago and they remained good friends until Tunku's demise many years later.
He lived such a full life, loved, respected and sometimes even 'feared' by those whose life he's touched. In those days, his signature confirms enterance to Al-Azhar University, there are a few very well known 'ulama' who got to where they are through this method - of course they were tested by him first, his standard's very high!

His wife Zainab Salleh Azzahari who passed away in 1979 bore him 10 children, 7 boys and 3 girls plus an adopted daughter, the late Aunt Hayati who died on Mother's Day. He was also blessed with 28 grandchildren and 32 (I'm not exactly sure of this, could be more) greatgrandchildren, his namesake Hussen Allayth being the youngest.

He was my grandfather and I know he is in a better place now but nothing can describe how numb I feel at this moment. I pray for strength to face the funeral arrangement tomorrow. I have to try my best - for him, for my dad & mom and for all my love ones.

From God we came, to Him we shall return.

*Artikel diambil dari blog cucunya di
http://mylifenowthen2morrow.blogspot.com/2007/07/this-tiny-little-lion-shall-continue.html



Nota Tambahan Admin : Sekitar tahun 2007 , memang ada rombongan dari SMK Agama Al-Mashoor(Lelaki) untuk menziarahi pengkebumian Syeikh Hussein Bakar Rafiie. Berita mengenai pemergian beliau turut disiarkan di Suratkhabar Utusan Malaysia .

Seorang Lelaki Di Pondok Jalan Scotland .



                         Bersama Arwah Mamu Nasir sebelum melangkah keluar dari Al Mashoor
                                                 
Jarang saya kongsikan gambar saya dengan beberapa orang melainkan orang itu peribadinya hebat dan meninggalkan kesan dalam hidup saya. Gambar ini saya ambil sewaktu saat-saat akhir saya meninggalkan asrama Al-Mashoor Lelaki . Di sini Arwah Mamu Nasir berpesan ;

'Naim,nanti bila senang,jenguklah pakcik dengan budak-budak kat sini.''.

Saya jadi tiba-tiba teringat dengan beliau sewaktu rakan saya berkongsikan post FB tentang kedai Roti Canai Abg Syed/Fairuz berdekatan Sekolah Abdullah Munshi.Ada beberapa momen beliau menumpangkan saya dan kami bersama-sama mengisi waktu pagi di kedai roti canai. Semasa itu kami bersembang seolah-olah saya sebaya dengannya dan kami adalah orang tua 70-an yang duduk di kedai kopi bercerita waktu silam.

Kadang-kadang waktu Prep malam pun,kami masih bersembang dengan arwah Mamu sampai waktu tengah malam.Tanyalah kepada setiap putra Al-Mashoor tentang peribadi Mamu. Memandangkan kami ketika itu adalah pelajar paling senior, Mamu banyak berpesan tentang keadaan dunia semasa , realiti orang bandar yang sibuk cari rezeki dalam keadaan kesempitan wang, kepentingan agama dalam kehidupan dan banyak lagi cabang kehidupan.Memandangkan beliau ada darah Boyan, kami juga sering bertukar pandangan berkenaan Silat dan seni bela diri.


Jiwa Al-Mashoor ada pada Mamu tatkala beliau membicarakan tentang jatuh bangun anak bangsa di sekolah dan kaitannya dengan realiti yang berlaku di luar sekolah, khususnya di Pulau Pinang.Saya berguru banyak dengan beliau, kami kepimpinan pelajar di sekolah berkali-kali dipesan dengan nasihat untuk menjaga kebajikan adik-adik junior,didik mereka agar jadi 'seseorang' .

' Nanti dah berjaya, walaupun Mamu bukan sesiapa, datanglah melawat selalu ' .

Pagi itu sebelum kawad SUKSIS, saya terduduk lama di katil ketika menerima berita dari Mohd Hariz Jamil tentang pemergian arwah di sekolah kerana serangan sakit jantung.Beliau ditemui oleh seorang lagi pengawal keselamatan kerana tidak balik-balik dari meronda sekolah.Sekali lagi saya tidak sempat untuk berikan penghormatan terakhir untuk arwah.Hanya doa dari jauh dan sedikit memori yang akan saya simpan selama-lamanya di dunia.

Sampai hari ini, bila melawat Al-Mashoor, saya akan melihat ke pondok tersebut, sambil mengharap ada seseorang yang saya kenal waktu dahulu akan menyambut saya dengan senyuman dan sapaan mesra,namun saya sedar itu sekadar momen zaman silam dan hanya tinggal kenangan.

Terima kasih kerana meluangkan waktu membaca post ini. Pagi semalam juga, Pak Jang saya di Utan Aji , Perlis meninggal dunia.Beliau merupakan antara Abang kesayangan Abah

.Berita-berita kematian, terutamanya yang ada pertalian, memang buat kita insaf.Semoga insaf kita diterjemahkan dalam amal perbuatan.

Naim Almashoori,
29 November 2015.



p/s : Diambil dari catatan FB Muhammad Amirul Naim , 29 November 2015.

Thursday 12 May 2016

Warung Pak Syed

Warung Pak Syed

  Kedai ini sebetulnya agak ‘legend’ bagi pelajar Al-Mashoor. Malangnya, Junior-junior ku kini sudah tidak mengenali dimana warung Pak Syed, ataupun kedai Roti Canai Fairus yang terletak di Jalan Gemas. Mungkin ada seorang dua yang masih tahu, itupun kalau aku yang buka cerita.
Kedai roti canai milik keluarga India-Muslim ini bagiku secara peribadi adalah kedai roti canai terbaik. 

Definisi terbaik itu semestinya bukan terletak pada hiasan dalaman ataupun faktor penarik lainnya, melainkan kesedapan roti canai itu sendiri. Kuah pekat, dengan bawang dan yang paling wajib, lada dan kicap . Lada dan kicap pada roti canai hanya sedap bagi kedai Pak Syed saja.Yang lain aku dah pernah buat, tapi rasanya tak ‘umphh’ macam kedai Pak Syed.

 Kedai ini memang strategik sebab terletak di lorong kecil, berdekatan dengan Rumah P Ramlee, di belakang SMK Abdullah Munshi. Strategik untuk pelajar Almashoor yang ‘ fly’ ke Cyber café. Terdapat dua Cyber Café yang menjadi tempat tumpuan iaitu SK ( Swan Kuan) dan SM ( Swan Meng). Dari situ juga , boleh berjalan kaki sampai ke Rope Walk ( Lorong Kulit) , pasar antik terbuka di waktu pagi yang menjadi tumpuan ramai orang untuk berkunjung ke sana.
Kedai ini tidaklah besar, malah boleh dikategorikan sebagai sempit. Ada meja panjang dan beberapa meja mudah-alih yang boleh dibuka .Selalunya memang ramai orang yang datang makan dan juga tak kurang beratur beli bungkus. Bagi kami, mendengar percakapan Pak Syed ( baca : leteran) sahaja sudah cukup menghiburkan kami dan buatkan kami tergelak sesama sendiri. Kalau pernah dengar bagaimana ‘Mamak Penang’ bersembang , kamu mesti faham mengapa kami begitu tertarik untuk dengar dan diam ketika mereka bercakap.

Semasa aku dan rakan-rakan menyambung pengajian Pra-U ( Tingkatan 6) di Al-Mashoor, rasanya boleh dikatakan amat kerap untuk kami berkunjung ke kedai Pak Syed. Sememangnya, Tingkatan 6 agak bebas dan tidak terlalu terikat dengan peraturan , tambah lagi dengan status sebagai pelajar Pra- U dan ‘Super Senior’,  buatkan kami menikmati serba sedikit kelebihan berbanding adik-adik yang lain. Aku ingat lagi , sewaktu ujian bagi kertas ‘Speaking’ MUET ( Malaysia University English Test), kami empat orang dengan selamba badaknya pergi berjalan kaki bergelak ketawa ke Kedai Pak Syed.

Kumpulan ‘speaking’ kami iaitu Aku, Izzul, Boolard dan Redhzuan merupakan kumpulan yang pertama untuk  diuji. Sewaktu makan di kedai Pak Syed, aku perasan beberapa staf PPD ( Pejabat Pelajaran Daerah) merenung kearah kami yang berbaju korporat rasmi Tingkatan Enam. Kami makan seolah-olah tiada apa-apa dan akhirnya berjalan kaki balik semula ke sekolah dengan rasa kekenyangan. Adakah ini yang dinamakan ‘fly’ secara terhormat ? .

Cikgu-cikgu Al-Mashoor juga sering singgah Kedai Pak Syed, selalunya mereka beli bungkus. Cikgu Razak , kaunselor merangkap warden asrama dan juga Teacher Nathira Beevi, Guru pembimbing majalah sekolah antara guru yang sering belanja kami ketika makan di Kedai Pak Syed. Bertambah senanglah hati , siapa tak mahu makan kenyang secara percuma ?

 Kini , boleh dikatakan setiap kali balik ke Pulau Pinang, warung Pak Syed menjadi tempat re-union kami , untuk sama – sama menikmati roti canai dan teh ais. Setakat ini, junior yang setia menuruti jejak langkah kami adalah Mustakim ( Mantan Ketua Umum Asrama ) dan junior Silat Gayong seperti Safwan, Amir, Izzan,Izzat,Anas dan lain-lain. Selepas zaman mereka saya kurang pasti bagaimana kedai ini di mata putera Al-mashoor lainnya.

  Selain rasa yang sedap, yang membuatkan kami selalu berkunjung ke situ tak lain dan tak bukan adalah untuk mengimbas kembali peristiwa pahit manis di Al-Mashoor. Warung Pak Syed menjadi sebahagian dari hidup remaja kami. Mana mungkin kami lupa kenangan yang membentuk citra peribadi sendiri di kemudian hari.

  Jom kawan-kawan !