Friday 13 May 2016

Seorang Lelaki Di Pondok Jalan Scotland .



                         Bersama Arwah Mamu Nasir sebelum melangkah keluar dari Al Mashoor
                                                 
Jarang saya kongsikan gambar saya dengan beberapa orang melainkan orang itu peribadinya hebat dan meninggalkan kesan dalam hidup saya. Gambar ini saya ambil sewaktu saat-saat akhir saya meninggalkan asrama Al-Mashoor Lelaki . Di sini Arwah Mamu Nasir berpesan ;

'Naim,nanti bila senang,jenguklah pakcik dengan budak-budak kat sini.''.

Saya jadi tiba-tiba teringat dengan beliau sewaktu rakan saya berkongsikan post FB tentang kedai Roti Canai Abg Syed/Fairuz berdekatan Sekolah Abdullah Munshi.Ada beberapa momen beliau menumpangkan saya dan kami bersama-sama mengisi waktu pagi di kedai roti canai. Semasa itu kami bersembang seolah-olah saya sebaya dengannya dan kami adalah orang tua 70-an yang duduk di kedai kopi bercerita waktu silam.

Kadang-kadang waktu Prep malam pun,kami masih bersembang dengan arwah Mamu sampai waktu tengah malam.Tanyalah kepada setiap putra Al-Mashoor tentang peribadi Mamu. Memandangkan kami ketika itu adalah pelajar paling senior, Mamu banyak berpesan tentang keadaan dunia semasa , realiti orang bandar yang sibuk cari rezeki dalam keadaan kesempitan wang, kepentingan agama dalam kehidupan dan banyak lagi cabang kehidupan.Memandangkan beliau ada darah Boyan, kami juga sering bertukar pandangan berkenaan Silat dan seni bela diri.


Jiwa Al-Mashoor ada pada Mamu tatkala beliau membicarakan tentang jatuh bangun anak bangsa di sekolah dan kaitannya dengan realiti yang berlaku di luar sekolah, khususnya di Pulau Pinang.Saya berguru banyak dengan beliau, kami kepimpinan pelajar di sekolah berkali-kali dipesan dengan nasihat untuk menjaga kebajikan adik-adik junior,didik mereka agar jadi 'seseorang' .

' Nanti dah berjaya, walaupun Mamu bukan sesiapa, datanglah melawat selalu ' .

Pagi itu sebelum kawad SUKSIS, saya terduduk lama di katil ketika menerima berita dari Mohd Hariz Jamil tentang pemergian arwah di sekolah kerana serangan sakit jantung.Beliau ditemui oleh seorang lagi pengawal keselamatan kerana tidak balik-balik dari meronda sekolah.Sekali lagi saya tidak sempat untuk berikan penghormatan terakhir untuk arwah.Hanya doa dari jauh dan sedikit memori yang akan saya simpan selama-lamanya di dunia.

Sampai hari ini, bila melawat Al-Mashoor, saya akan melihat ke pondok tersebut, sambil mengharap ada seseorang yang saya kenal waktu dahulu akan menyambut saya dengan senyuman dan sapaan mesra,namun saya sedar itu sekadar momen zaman silam dan hanya tinggal kenangan.

Terima kasih kerana meluangkan waktu membaca post ini. Pagi semalam juga, Pak Jang saya di Utan Aji , Perlis meninggal dunia.Beliau merupakan antara Abang kesayangan Abah

.Berita-berita kematian, terutamanya yang ada pertalian, memang buat kita insaf.Semoga insaf kita diterjemahkan dalam amal perbuatan.

Naim Almashoori,
29 November 2015.



p/s : Diambil dari catatan FB Muhammad Amirul Naim , 29 November 2015.

No comments:

Post a Comment