Thursday 12 May 2016

Warung Pak Syed

Warung Pak Syed

  Kedai ini sebetulnya agak ‘legend’ bagi pelajar Al-Mashoor. Malangnya, Junior-junior ku kini sudah tidak mengenali dimana warung Pak Syed, ataupun kedai Roti Canai Fairus yang terletak di Jalan Gemas. Mungkin ada seorang dua yang masih tahu, itupun kalau aku yang buka cerita.
Kedai roti canai milik keluarga India-Muslim ini bagiku secara peribadi adalah kedai roti canai terbaik. 

Definisi terbaik itu semestinya bukan terletak pada hiasan dalaman ataupun faktor penarik lainnya, melainkan kesedapan roti canai itu sendiri. Kuah pekat, dengan bawang dan yang paling wajib, lada dan kicap . Lada dan kicap pada roti canai hanya sedap bagi kedai Pak Syed saja.Yang lain aku dah pernah buat, tapi rasanya tak ‘umphh’ macam kedai Pak Syed.

 Kedai ini memang strategik sebab terletak di lorong kecil, berdekatan dengan Rumah P Ramlee, di belakang SMK Abdullah Munshi. Strategik untuk pelajar Almashoor yang ‘ fly’ ke Cyber café. Terdapat dua Cyber Café yang menjadi tempat tumpuan iaitu SK ( Swan Kuan) dan SM ( Swan Meng). Dari situ juga , boleh berjalan kaki sampai ke Rope Walk ( Lorong Kulit) , pasar antik terbuka di waktu pagi yang menjadi tumpuan ramai orang untuk berkunjung ke sana.
Kedai ini tidaklah besar, malah boleh dikategorikan sebagai sempit. Ada meja panjang dan beberapa meja mudah-alih yang boleh dibuka .Selalunya memang ramai orang yang datang makan dan juga tak kurang beratur beli bungkus. Bagi kami, mendengar percakapan Pak Syed ( baca : leteran) sahaja sudah cukup menghiburkan kami dan buatkan kami tergelak sesama sendiri. Kalau pernah dengar bagaimana ‘Mamak Penang’ bersembang , kamu mesti faham mengapa kami begitu tertarik untuk dengar dan diam ketika mereka bercakap.

Semasa aku dan rakan-rakan menyambung pengajian Pra-U ( Tingkatan 6) di Al-Mashoor, rasanya boleh dikatakan amat kerap untuk kami berkunjung ke kedai Pak Syed. Sememangnya, Tingkatan 6 agak bebas dan tidak terlalu terikat dengan peraturan , tambah lagi dengan status sebagai pelajar Pra- U dan ‘Super Senior’,  buatkan kami menikmati serba sedikit kelebihan berbanding adik-adik yang lain. Aku ingat lagi , sewaktu ujian bagi kertas ‘Speaking’ MUET ( Malaysia University English Test), kami empat orang dengan selamba badaknya pergi berjalan kaki bergelak ketawa ke Kedai Pak Syed.

Kumpulan ‘speaking’ kami iaitu Aku, Izzul, Boolard dan Redhzuan merupakan kumpulan yang pertama untuk  diuji. Sewaktu makan di kedai Pak Syed, aku perasan beberapa staf PPD ( Pejabat Pelajaran Daerah) merenung kearah kami yang berbaju korporat rasmi Tingkatan Enam. Kami makan seolah-olah tiada apa-apa dan akhirnya berjalan kaki balik semula ke sekolah dengan rasa kekenyangan. Adakah ini yang dinamakan ‘fly’ secara terhormat ? .

Cikgu-cikgu Al-Mashoor juga sering singgah Kedai Pak Syed, selalunya mereka beli bungkus. Cikgu Razak , kaunselor merangkap warden asrama dan juga Teacher Nathira Beevi, Guru pembimbing majalah sekolah antara guru yang sering belanja kami ketika makan di Kedai Pak Syed. Bertambah senanglah hati , siapa tak mahu makan kenyang secara percuma ?

 Kini , boleh dikatakan setiap kali balik ke Pulau Pinang, warung Pak Syed menjadi tempat re-union kami , untuk sama – sama menikmati roti canai dan teh ais. Setakat ini, junior yang setia menuruti jejak langkah kami adalah Mustakim ( Mantan Ketua Umum Asrama ) dan junior Silat Gayong seperti Safwan, Amir, Izzan,Izzat,Anas dan lain-lain. Selepas zaman mereka saya kurang pasti bagaimana kedai ini di mata putera Al-mashoor lainnya.

  Selain rasa yang sedap, yang membuatkan kami selalu berkunjung ke situ tak lain dan tak bukan adalah untuk mengimbas kembali peristiwa pahit manis di Al-Mashoor. Warung Pak Syed menjadi sebahagian dari hidup remaja kami. Mana mungkin kami lupa kenangan yang membentuk citra peribadi sendiri di kemudian hari.

  Jom kawan-kawan !

No comments:

Post a Comment